KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyokong pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan 2021 dibenarkan kembali ke sekolah.

Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, apa yang penting adalah semua pihak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Bagi calon SPM 2020 yang akan menduduki peperiksaan mereka, kita (STU) juga bersetuju bahawa mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang diamalkan sebelum sekolah bercuti pada penghujung 2020.

“Bagaimanapun, sekiranya kawasan sekolah tersebut berada di dalam zon merah, STU merasakan adalah wajar untuk sekolah tersebut ditutup sementara kerana tahap risiko jangkitan adalah sangat tinggi,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, para guru dan pelajar tidak boleh didedahkan kepada risiko bahaya yang sudah diketahui menular dalam zon merah.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat, keselamatan semua pihak yang terlibat perlu diutamakan.

“STU percaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperincikan SOP sewajarnya sebelum membenarkan pelajar dan guru hadir ke sekolah,” tegasnya.

Terdahulu, pengumuman berhubung perkara tersebut telah dilakukan oleh Muhyiddin hari ini dengan memaklumkan bahawa walaupun sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

Menurutnya, mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat dan pihak KPM akan memperincikan SOP tersebut.