KUCHING: Pembukaan semula sekolah di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah wajar dipertimbangkan, tegas Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah.

Menurutnya, STU mengambil maklum tentang pengumuman yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berhubung dengan Daerah Kuching dan Sibu yang dikategorikan sebagai zon merah.

“Sekiranya penularan Covid-19 semakin meningkat dan wujudnya zon merah, kami (STU) berpendapat bahawa pembukaan sekolah di kawasan ini wajar ditangguhkan.

“Justeru, ia boleh digantikan dengan pengajaran dan pembelajaran dari rumah,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, mereka percaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan panduan berasaskan pengurusan risiko kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya pertimbangan wajar dapat dilakukan untuk pembukaan sekolah di kawasan zon merah seluruh negara.

“STU juga akan akur dengan keputusan dan arahan yang akan dikeluarkan oleh KPM nanti.

“Selain itu, kami (STU) juga menyeru kerjasama semua guru dan ibu bapa dalam mematuhi arahan KKM dan KPM tersebut,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menasihatkan agar semua guru yang berada di zon merah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ia termasuk menjaga keselamatan diri dan sentiasa berusaha membantu pelajar kita dalam keadaan pendidikan norma baharu ini,” tegasnya.

Terdahulu, sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari ini. Bagaimanapun, semalam Pengurusan JPBNS telah mengisytiharkan Daerah Sibu dan Kuching sebagai zon merah.