SEKOLAH sepatutnya dibuka tidak lama lagi, namun ia bergantung kepada situasi semasa pandemik Civid-19.

Ibu bapa sudah mula berkira-kira untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

Namun dalam musim pandemik ini, ekonomi kita banyak yang terjejas dan ramai juga yang kehilangan pekerjaan dan merudumnya pendapatan.

Bagaimanapun kehidupan tetap diteruskan.

Pelajaran anak-anak menjadi keutamaan dan ibu bapa tetap menyediakan keperluan sekolah anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan 2021.

Tambahan pula banyak sekolah sudah mengedarkan senarai buku latihan dan yuran yang perlu dibayar.

Semua ini mungkin tidak memberi kesan pada golongan yang berada, namun mampu mengganggu tidur bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Namun ibu bapa haruslah bijak dalam berbelanja untuk menyediakan kemasukan anak-anak ke alam persekolahan tahun 2021 ini.

Berikut ada beberapa tip yang boleh digunakan untuk membantu ibu bapa dalam berbelanja.

Pertama, Ibu bapa boleh gunakan pakaian seragam tahun 2020 yang masih boleh digunakan.

Sepanjang 2020 hampir setengah tahun murid-murid tidak hadir ke sekolah, kecuali mereka yang belajar secara dalam talian menerusi pembelajaran dari rumah.

Jadi, pakaian seragam dan beg sekolah sudah tentu masih boleh digunakan semula.

Oleh itu ibu bapa boleh berjimat dari segi menyediakan keperluan anak-anak.

Namun jika perlu membeli pakaian, carilah di ruang tawaran harga murah bagi menjimatkan perbelanjaan.

Kalau perlu beli sepasang sahaja untuk digunakan secara bergilir-gilir dengan baju tahun 2020 yang masih elok.

Ibu bapa hendaklah bijak menguruskan perbelanjaan rumah, untuk membeli barangan keperluan sekolah anak-anak.

Ibu bapa juga perlu membezakan sama ada barang tersebut perlu atau tidak.

Jadi ibu bapa hendaklah meyakinkan anak-anak kenapa tidak membeli peralatan baharu supaya mereka faham.

Sebagai contoh, sekiranya beg sekolah mereka masih elok, tidak perlu membazir dengan membeli yang baharu.

Panduan kedua ialah membuat belanjawan atau bajet.

Ini sangat penting supaya kita dapat mengelak berbelanja secara berlebihan.

Ibu bapa boleh asingkan wang yang digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak.

Semasa membeli barangan sekolah pastikan menggunakan duit yang sudah diperuntukkan sahaja.

Ini bagi mengelak membeli barangan lain yang tiada kaitan dengan peralatan persekolahan anak-anak.

Panduan ketiga ialah membeli ketika jualan murah. Ibu bapa tentu maklum ketika musim cuti sekolah hujung tahun, banyak kedai menjual peralatan sekolah seperti kedai alat tulis, pakaian mahupun gedung membeli-belah akan memberikan diskaun dengan potongan harga yang menarik.

Ketika ini, harga setiap produk persekolahan lebih murah dan banyak.

Jadi ibu bapa mempunyai banyak pilihan dan perlu memanfaatkan peluang ini sebelum ia kehabisan.

Lebih menarik lagi jika semua barangan boleh didapati di satu tempat.

Oleh itu ibu bapa tidak perlu membuang masa ke tempat lain.

Panduan keempat ialah membeli di kedai harga bajet rendah yang banyak terdapat di pusat bandar.

Anda pasti boleh menemui barang dan alat tulis semurah RM2.

Kedai seperti ini menjanjikan harga yang lebih murah berbanding di pasar raya.

Bukan semua keperluan sekolah akan digunakan pada hari pertama persekolahan.

Jadi utamakan apa yang penting dahulu.

Lagi pula, kadang-kadang terdapat kedai yang menawarkan harga yang lebih murah selepas sekolah dibuka bagi menghabiskan stok.

Rebut peluang ini untuk membeli keperluan yang masih belum cukup dan yang paling penting, belilah barangan keperluan anak-anak mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Yang murah tidak semestinya tidak elok, selagi anda tahu di mana tempat terbaik untuk membeli-belah.

Oleh itu adalah diharapkan agar ibu bapa lebih berhemah berbelanja dalam musim pandemik ini demi pembelajaran anak-anak.

Pastikan alat tulis dan buku latihan lengkap, dan elak membeli barangan keperluan persekolahan yang mahal, kerana ia boleh menjejaskan pendapatan untuk keperluan lain.

Pastikan juga semasa membeli barang keperluan, tidak membawa anak-anak ke pusat membeli-belah kerana dikhuatiri akan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Memadai dengan mengukur saiz baju di rumah. Ingat kita jaga kita, kalau bukan kita siapa lagi.

Pemikiran PELBAGAI pilihan, ibu bapa perlu bijak berbelanja, membeli keperluan sahaja, agar tidak membazir.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.