KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih boleh berfungsi sebagai kerajaan interim bagi memerintah negeri ini, sekiranya Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak terpaksa ditangguhkan disebabkan darurat.

Menurut Penganalisis Politik, Prof. Dr Awang Azman Awang Pawi, ini kerana GPS merupakan pemerintah terkini.

“Jadi lazimnya kerajaan yang menyandang ini akan diberikan kuasa untuk menjadi kerajaan interim ataupun sementara,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos.

Tindakan itu adalah bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah pada tahun lalu.

Justeru, Awang Azman berkata Kerajaan Sarawak kena akur kepada perintah darurat itu.

“Bermakna PRN-12 Sarawak tidak dapat diadakan selagi ada darurat walaupun penggal Dewan Undangan Negeri (SUN) Sarawak tamat pada Jun 2021.

“Maka PRN hanya dapat berlangsung selepas darurat tamat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tempoh darurat ini akan memberi peluang kepada GPS dari segi kempen, untuk melonjakkan lagi pengaruh dan populariti dari segi memberikan bantuan serta subsidi terhadap majoriti rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya begitu juga pembangkang, yang mampu menarik populariti dengan mendesak kerajaan negeri memberi lebih banyak bantuan serta subsidi ketika darurat.

Mandat bagi GPS memimpin Kerajaan Sarawak akan berakhir pada Jun 2021 dan apabila mencapai tempoh matang, DUN Sarawak secara automatik tetap akan bubar.

Justeru, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.