KUCHING: Dua hari berturut-turut Sarawak mencatatkan tiga angka jangkitan Covid-19 dengan 146 kes positif baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhan 1,574 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah tersebut Daerah Sibu mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 92 kes, diikuti Sebauh (20), Kanowit (12), Miri (11), Beluru (3), Kuching (3), Dalat (2), Saratok (1), Bintulu (1) dan Limbang (1).

“Bagi Daerah Sibu, 83 kes baharu adalah jangkitan daripada Kluster Pasai, lapan kes lain-lain saringan, manakala satu kes adalah individu balik dari kawasan berisiko tinggi.

“Untuk 12 kes jangkitan di Daerah Kanowit, ia adalah daripada Kluster Pasai,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, JPBNS berkata Daerah Sebuah mencatatkan satu kluster baharu iaitu Kluster Bukit Sekubung dengan 20 kes, indeks kluster adalah kes 1,258 yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 8 Januari lalu setelah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sebauh, Bintulu.

“Daripada 11 kes di Miri, tujuh kes daripada lain-laing saringan, dua kes daripada Kluster Bah Sayap, satu kes jangkitan Kluster Jelita dan satu kes saringan individu balik dari kawasan berisiko tinggi.

“Manakala tiga kes di Beluru adalah daripada saringan kontak rapat, tiga kes di Kuching pula masing-masing satu daripada Kluster Stutong, saringan individu bergejala dan saringan kontak rapat,” ujar JPBNS.

Mengulas lanjut JPBNS berkata dua kes di Dalat adalah daripada Kluster Pasai, satu kes di Saratok daripada saringan individu balik dari kawasan berisiko tinggi, satu kes di Bintulu pula daripada individu balik dari luar negara manakala satu kes di Daerah Limbang adalah kes rujukan hospital.