KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 28 tahun dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya di sungai Kampung Meranek, di sini, pagi tadi.

Adik mangsa berkata, mangsa bersama ayahnya telah keluar sekitar jam 3.45 pagi untuk menarik pukat di sungai tersebut.

Sejurus kemudian katanya, bapa mangsa yang kembali ke rumah mereka di Kampung Meranek memaklumkan bahawa mangsa telah disambar buaya dan hilang di dalam air.

Sementara itu Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya telah pun membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) untuk penyelarasan operasi pencarian.

“Operasi pencarian telah dilakukan awal oleh penduduk kampung dan penyelarasan operasi sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat yang terlibat.

“Aset bot bersama 11 anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan juga telah digerakkan ke lokasi,” katanya.

BERSEDIA… Anggota bomba menjalankan operasi SAR mangsa yang dipercayai disambar buaya di sungai Kampung Meranek.