PADAWAN: Dua anak-beranak terselamat selepas rumah mereka musnah akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, di sini, hari ini.

Insiden yang berlaku sekitar jam 3.30 pagi itu berlaku berikutan cuaca hujan secara berterusan dari Isnin lalu menyebabkan rumah tersebut tersusur bersama tanah runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, hasil pemantauan pihaknya di lokasi mendapati rumah milik ibu tunggal dan anak lelakinya itu hancur 100 peratus akibat kejadian.

Malah katanya, dua buah lagi rumah berhampiran tanah tersebut berisiko tinggi akan runtuh berikutan struktur tanah didapati tidak kukuh susulan insiden terbabit.

Sementara itu, Ketua Kaum Sagu Bakong dalam satu kenyataan mengesahkan insiden terbabit turut menjejaskan dua tiang elektrik yang tidak jauh dari kawasan kejadian.

Terdahulu katanya, rumah milik dua beranak itu baru sahaja dibaik pulih beberapa bulan yang lalu.

Beliau dalam pada itu menyeru pihak berwajib untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa insiden tanah runtuh serta melakukan tindakan penyelesaian bagi menghadapi kejadian tersebut tidak berulang.

PERIKSA… anggota bomba meninjau keadaan tanah runtuh yang berlaku