Suhaimi Sulaiman berkata, TVSTARZ akan dikenali sebagai rancangan pencarian bakat yang paling unik di Asia yang bertujuan untuk mencari bakat serba boleh dalam nyanyian bergenre budaya pop dan mengikuti rentak Gendang Sarawak.

Menurutnya, pencarian bakat tersebut juga mesti mampu berlakon dan mengacara seperti bakat tanah air yang terkemuka.

“Terdapat banyak bakat muda di luar sana yang belum berkembang sepenuhnya.

Industri ini secara amnya, terutamanya TVS, memerlukan lebih banyak bakat yang boleh mencetus inspirasi.

“Kami amat teruja kerana berpeluang untuk mengasah bakat baharu ini melalui TVSTARZ,” katanya dalam kenyataan rasminya semalam.

Beliau berkata, dalam mengikuti norma baharu, uji bakat akan dilakukan melalui penyerahan video dan hanya calon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk ke peringkat seterusnya.

“Penyertaan tersebut terbuka kepada individu berusia 18 hingga 27 tahun dan seramai 12 peserta akan disenarai pendek sebagai peserta dalam rancangan ini dan berpeluang untuk menjadi ikon dalam industri hiburan Malaysia yang kian membangun di Sarawak.

“Secara umumnya, peserta akan maju ke peringkat seterusnya yang diadili oleh juri profesional dengan sokongan undian awam.

“Individu yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.tvstv.my/ tvstarz sebelum 31 Januari ini,” katanya.

Pada akhir rancangan ini, TVSTARZ akan menampilkan finalis yang akan bersaing dengan penuh karisma, memiliki ketajaman minda dan berbakat sebagai penghibur untuk dinobatkan sebagai pemenang.

TVSTARZ dijangka ditayangkan pada akhir suku pertama tahun ini.