KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafia Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini.

Ia sebagai langkah proaktif bagi membendung wabak Covid-19 di seluruh negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda memberi perkenan tempoh perlaksanaan darurat itu, atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil menambah, perkenan tersebut turut mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Beliau menjelaskan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah pada jam 5.30 petang semalam (11 Januari) di Istana Negara.

Ia bertujuan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

“Penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh,” jelas beliau.

Menurut Ahmad Fadil, perkenan itu turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara dan berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan logistik mengikut negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

Menurut statistik, sebanyak 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus, di mana di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

“Sementara itu di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 telah melebihi 70 peratus,” ujar beliau.

Ahmad Fadil menegaskan, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama,” tambahnya lagi.