MUKAH: Semua aktiviti sembahyang misa di gereja, ibadat komuni di gereja dan aktiviti sembahyang arwah seperti tujuh hari, 40 hari, 100 hari dan satu tahun dihentikan serta merta bermula 12 Januari hingga 26 Januari ini.

Ketetapan tersebut adalah termaktub bagi Daerah Mukah dan Daerah Kecil Balingian.

Keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan Jawatankuasa Mukah Pastoral Parish Council (MPPC), Gereja Sts Peter and Paul Mukah setelah meneliti arahan daripada Bishop dari Sibu dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bertarikh 12 Januari 2021 yang lalu.

“Sekiranya berlaku kes kematian baharu yang memerlukan sembahyang, Ketua sembahyang dan ahli-ahli keluarga sahaja yang dibenarkan untuk bersembahyang dengan mematuhi garis panduan standard operasi prosedur (SOP) dan tidak melebihi 20 orang,” jelas kenyataan tersebut.

Pihak MPPC turut berharap agar penganut Kristian di Mukah dan Balingian dapat mematuhi arahan semasa yang ditetapkan tersebut.

“Segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan Unifor perlu terus dipatuhi.

“Semua juga dimohon untuk sentiasa peka dengan perkembangan semasa Covid-19, kita jaga kita, semoga Tuhan melindungi kita daripada pandemik Covid-19 ini,” tambahnya.