MUKAH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mukah bersedia membuka pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan banjir di sini semakin buruk.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mukah Kapten (PA) Zuriza Sharkawi berkata buat masa ini, PPS belum lagi dibuka kerana keadaan banjir masih terkawal.

“Keadaan kenaikan air yang berlaku di beberapa kawasan di Mukah kini berada dalam keadaan terkawal dan selamat manakala paras air menaik berpunca dari kejadian air pasang,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Pusat pemindahan tersebut ialah Dewan Serbaguna Kampung Kuala Balingian, Dewan Masyarakat Balingian, Sk Kuala Balingian, Balai Raya Kpg Pulat, SK SLDB No 1 Mukah, Kem Belia Mukah, Stadium Tertutup Mukah, Maktab Rendah Sains Mara, Politeknik Mukah,Dewan Serbaguna Bomba Mukah dan Dewan Suarah Mesra Mukah.

Tinjauan pihaknya pada Selasa mendapati beberapa kawasan mula mengalami banjir di Sk Kampung Jebungan, Kampung Jebungan, Kampung Tegak, SK.Penakup Ulu, Kampung Penakup Ulu, Sungai Laman, Kampung Tellian Ulu dan Skim Penempatan Semula Kuala Lama.

Turut diramalkan air pasang akan berlaku pada hari ini pada jam 5.33 petang dengan kenaikan enam meter.

Orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan dari pihak APM Mukah, mereka boleh menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Daerah Mukah di 084-874814.