SIBU: Warga Sibu digesa supaya tidak panik dan bimbang ketika mengunjungi pusat saringan Covid-19 di Stadium Tertutup Sibu dan Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu dalam satu kenyataannya hari ini berkata, susulan itu kedua-dua lokasi tersebut sesak dengan tumpuan orang ramai yang tidak melepaskan peluang mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Demi keselamatan dan langkah berjaga-jaga, warga Sibu dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa untuk menjalankan saringan di Stadium Tertutup Sibu dan calitan pandu lalu di Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu memandangkan keadaan di kedua-dua lokasi tersebut semakin sesak.

“Jika status anda “bukan kontak rapat” dengan pesakit Covid-19, kemungkinan dijangkiti adalah amat rendah dan tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat saringan sekiranya tidak mengalami sebarang tanda dan gejala,” tegasnya.

Justeru, jawatankuasa tersebut memohon supaya warga Sibu memberi laluan dan keutamaan kepada kontak rapat pesakit Covid-19 untuk mendapatkan saringan tersebut.

“Jujurlah terhadap pegawai yang bertugas.

“Kedua-dua pusat saringan tersebut tetap beroperasi setiap hari dan tidak akan ditutup dalam masa yang terdekat,” katanya lagi.

Tinjauan semalam mendapati saringan Covid-19 secara pandu lalu di perkarangan letak kereta kawasan Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu bermula jam 2 petang tadi.

Jalan masuk ke pusat itu sesak dan kereta berbaris panjang.

Pada masa yang sama juga, orang ramai masih berbaris panjang bagi menjalani ujian saringan Covid-19 di Stadium Tertutup Sibu yang terletak bersebelahan Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu.

Sementara itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee memohon orang ramai supaya bersabar menunggu giliran masing-masing.

“Terima kasih kepada orang Sibu kerana memberi kerjasama sangat baik dengan tampil melakukan saringan.

“Kita terus berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan Covid-19 dapat dibendung di Sibu,” ujarnya dalam ciapan di laman sosialnya.

Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu ditutup kepada orang awam mulai 13 Januari hingga 28 Januari 2021 bagi mengekang penularan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan pada masa ini.