SIBU: Kes jangkitan Covid-19 di Sibu dijangkakan akan naik lagi hari ini susulan saringan Kluster Pasai yang ramai.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, rentetan itu pihak MPS serta penguatkuasanya terus memantau keadaan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan premis perniagaan di sini hari ini.

“MPS memperketatkan lagi pematuhan SOP khususnya kedai-kedai kopi dan restoran.

“Saya telah mengerahkan pasukan MPS untuk tujuan tersebut,” tegasnya sebentar tadi.

Ting menggesa semua premis yang disenaraikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dikunjungi oleh pesakit Covid-19 untuk mengamalkan pembersihan, menghantar kakitangan mereka untuk saringan dan memastikan SOP dipatuhi dan kakitangan mereka dilindungi dengan baik.

“Untuk hari ini lebih banyak bilangan positif dijangkakan akan dicatatkan. Terus berada di rumah jika anda tidak mempunyai urusan penting.

“Hanya dengan bekerjasama kita dapat mengawal wabak ini di Sibu,” tambah beliau.