SKUAD Manchester United akhirnya berjaya memintas musuh tradisi, Liverpool untuk menakluki takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah membenam Burnley 1-0 di gelanggang lawan semalam.

Bintang Perancis, Paul Pogba muncul wira MU apabila menjaringkan gol tunggal cantik pada minit ke-71, dengan melakukan voley, hasil hantaran silang Rashford.

Ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna buat MU, yang akan menentang Liverpool di Anfield Ahad ini.

“Kami sedar ia merupakan perlawanan yang subar, dan kami mahu menang… akhirnya kami melakukan apa yang kami mahukan,” kata Pogba.

“Namun perjalanan kami masih jauh, ada banyak lagi aksi selepas ini. Namun yang pasti kami kini menerajui liga,” jelasnya.

Aksi konsisten Pogba mampu meyakinkan Ole Gunnar Solskjaer bahawa beliau boleh menamatkan penantian lapan tahun kelab itu untuk memenangi kejuaraan liga.

Kejayaan menewaskan Burnley, pasukan yang tidak pernah tewas di tempat sendiri sejak Oktober tahun lalu juga membuktikan MU mempunyai keupayaan mencabar kejuaraan liga.

Namun, Liverpool, Manchester City dan Leicester kekal sebagai pencabar utama MU sehingga penghujung musim.