KOTA SAMARAHAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang akibat disambar buaya di sungai Kampung Meranek di sini diperluaskan hingga 15 kilometer.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, bagaimanapun setakat ini mereka masih belum menemui sebarang petunjuk terhadap penemuan mangsa.

“Namun, semalam kita telah menjumpai beberapa pakaian mangsa iaitu jaket, pakaian dalam dan sarung tangan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Sudirman, pencarian mangsa masih diteruskan sehingga ke petang ini dan ditamatkan mengikut keadaan cuaca.

Beliau turut dimaklumkan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) bahawa kawasan sungai tersebut sememangnya didiami oleh banyak buaya.

“Menurut sumber, sekitar 20 ekor buaya bersaiz besar mendiami kawasan sungai ini.

“Malah, saksi kejadian iaitu ayah mangsa memberitahu buaya yang menyambar anaknya itu berukuran 15 meter panjang,” jelas Sudirman.

Sudirman turut memberitahu operasi SAR telah bermula sejak semalam sebaik sahaja laporan polis diterima daripada adik mangsa, sekitar jam 7.45 pagi dan ditamatkan pada jam 5.30 petang susulan daripada keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Beliau menambah, operasi SAR itu dibantu oleh 47 orang anggota termasuk PDRM, anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan serta penduduk kampung.

Sebanyak 28 bot yang dimiliki oleh bomba, APM dan orang kampung turut digunakan dalam operasi berkenaan.

Terdahulu, mangsa Azyan Azhar, 29 atau dikenali sebagai Atan dilaporkan hilang akibat disambar buaya sekitar jam 3.45 pagi.

Atan bersama ayahnya, Azhar Razali keluar rumah untuk menarik pukat di sungai Kampung Meranek sebelum kejadian tersebut berlaku dan disaksikan sendiri oleh ayahnya.

Tamat