KUCHING: Sarawak akan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan sempadan bagi membendung penularan Covid-19 dan masalah penyeludupan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak hari ini menzahirkan kebimbangannya mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki negeri ini.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia, sekitar 70 peratus kes berkaitan Covid-19 di negeri ini adalah kes import.

Oleh itu, katanya, antara langkah yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak untuk mengukuhkan keselamatan sempadan adalah menambah dan memperhebatkan keupayaan pemantauan dan penguat kuasa di sepanjang sempadan Kalimantan.

“Ini bermaksud kesemua agensi penguat kuasa termasuk PGA, PDRM, ATM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen perlu menjalankan kerja operasi,” jelasnya.

Masing mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak.

Beliau menambah, sebuah jaringan komunikasi perlu diwujudkan dalam memastikan keselamatan pasukan penguat kuasa dan memudahkan kelancaran komunikasi antara sempadan dan ibu pejabat.

“Di pos sempadan terpencil seperti Tapak Megah dan Pandora, kebimbangan utama adalah penyeludupan barang atau dadah.

“Saya mencadangkan mewujudkan kemudahan jalur lebar ‘ConnectMe’ untuk pos ini yang tidak dapat dicapai dengan cara telekomunikasi yang lain,” kata Masing.

Beliau turut menegaskan bahawa sehingga keselamatan sempadan diperkuatkan, adalah mustahil untuk melandaikan lekuk jangkitan virus tersebut.

Dalam pada itu, katanya isu kemasukan Pati ke Sarawak melalui sempadan Lundu dan Biawak turut menjadi diberikan perhatian.

Masing memberitahu, melalui sempadan tersebut mereka dapat bergerak ke Bahagian lain seperti Sibu dan Kuching untuk mencari kerja.

“Kita perlu menangkap dalang dan tekong untuk menghentikan penyeludupan Pati yang menurut saya sebagai penyeludupan manusia yang serius.

“Hukuman seperti itu boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah, ini menunjukkan bahawa ia merupakan satu jenayah berat,” kata Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.

Tambah Masing, jawatankuasa akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membantu membiayai perolehan mesin dan peralatan untuk memastikan penguatkuasa memantau sempadan dengan agresif.

Jelasnya, ia termasuk kenderaan peronda seperti motosikal scrambler, kenderaan ATV dan kenderaan pacuan empat roda serta penggunaan dron berkapasiti tinggi.

“Bagi pihak jawatankuasa, kami akan mengadakan mesyuarat mingguan mulai minggu ini untuk memastikan kemas kini disampaikan dan usaha kesemua agensi diselaraskan dengan baik,” kata Masing.