SIBU: Pemimpin di sini perlu menunjukkan kepemimpinan mereka ketika rakyat dalam kesulitan menghadapi penularan jangkitan Covid-19 yang sangat membimbangkan.

Senator Robert Lau Hui Yew menegaskan, kesulitan yang dihadapi ketika ini tidak harus digunakan oleh pemimpin untuk kepentingan politik mereka.

“Sibu perlukan seorang pemimpin yang memimpin pada masa yang mendesak, bukan ahli politik yang oportunis menyatakan tentang kempen pilihan raya pada kawasan luar bandar dengan tujuan menukar Kerajaan Sarawak sedia ada” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Hui Yew, Kerajaan Sarawak telah bekerja dengan sedaya upaya dalam usaha mencegah pandemik Covid-19 daripada merebak di negeri ini.

Malah katanya, kerajaan telah secara berterusan menggesa rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ini merupakan perjuangan yang melibatkan semua orang.

“Tindakan setiap orang boleh membawa impak kepada seluruh masyarakat.

“Justeru itu, pemimpin-pemimpin di setiap kawasan perlu menunjukkan kepemimpinan mereka,” katanya.