KUCHING: Memandangkan kes positif Covid-19 kian meningkat setiap hari, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak keputusan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi Daerah Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei, Sibu dan Miri bermula semalam sehingga 26 Januari 2021.

Penguatkuasaan PKPB selama 14 hari itu termasuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan serta rentas zon kecuali dengan kebenaran polis.

Keputusan tersebut mendapat sambutan baik daripada masyarakat tempatan namun kata mereka usaha mengekang penularan wabak tersebut hanya akan berjaya jika rakyat benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

MOHD HAFIZ MUSA “Tidak dinafikan tindakan kerajaan melaksanakan PKP, PKPB dan PKPP sememangnya untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara. Namun ia tidak dapat dijayakan sekiranya rakyat sendiri degil dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan diri masingmasing dan keluarga dalam pematuhan SOP. Amat penting bagi masyarakat itu sendiri mempunyai kesedaran yang wabak ini tidak boleh dipandang ringan.”

 

A’UNEE SYAMINA “Sarawak merupakan salah satu negeri yang mempunyai jumlah kes Covid-19 yang rendah sebelum ini, namun sekarang meningkat mendadak mungkin disebabkan kelalaian kita sendiri. Justeru, PKPB memang perlu dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak tersebut. Rakyat harus memainkan peranan masing-masing supaya segala SOP dapat dilaksanakan dengan berkesan.

 

JUSTINIE MARLINENI “Tindakan tegas serta larangan rentas negeri dan daerah sekurangkurangnya dapat mengurangkan risiko peningkatan kes Covid-19. Diharap masyarakat dapat mematuhi segala SOP dan arahan. Lebih baik duduk di rumah sahaja jika tidak ada keperluan penting. Jangan berdegil kerana banyak lagi aktiviti yang berfaedah boleh kita lakukan di rumah bersama keluarga