KUCHING: Kesemua 22 stesen telemetri yang memberikan data masa nyata berterusan kepada Bilik Operasi Baraj Kuching berfungsi dengan baik.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, ini sekali gus memudahkan keputusan dibuat bagi mengatur pembuangan lebihan air ke laut.

Menurutnya lagi, data mengenai curah hujan dan permukaan air yang dihasilkan daripada stesen berkenaan penting bagi Kementerian Pengangkutan, Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) dan operator baraj membuat keputusan.

“Terdapat 22 stesen telemetri yang berfungsi dengan baik bagi menyediakan data waktu nyata yang berterusan kepada operator baraj.

“Data-data ini sangat diperlukan bagi mengatur jadual pembuangan lebihan air dari kawasan tadahan Sungai Sarawak ke laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pasukan LSS telah dihantar ke kampung-kampung yang menempatkan stesen telemetri tersebut berada untuk menjelaskan kepada penduduk perlunya berpindah ke tempat yang lebih tinggi jika siren dari stesen diaktifkan.

Tambah Kim Shin, bilik operasi 24 jam di ibu pejabat LSS yang dihubungkan dengan Bilik Operasi Baraj Kuching juga telah diaktifkan bagi memantau keadaan permukaan air dengan teliti.

Ini ekoran kemas kini daripada operator baraj mengenai keadaan paras air terkini di kawasan tadahan Sungai Sarawak.

“Hujan lebat berterusan, selain faktor air pasang besar mengakibatkan kenaikan paras air di kawasan tadahan Sungai Sarawak.

“Secara tidak langsung menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air sejak Rabu,” ujarnya.

Berikutan ramalan cuaca yang tidak baik sejak beberapa hari lalu juga, beliau menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan rendah untuk lebih berwaspada.

Beliau dalam pada itu meminta semua pihak mematuhi sebarang nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

TINJAU Lee Kim Shin ketika meninjau Bilik Operasi Baraj Kuching, semalam.