KUCHING: Seramai 3,387 mangsa banjir di Sarawak, telah dipindahkan ke pusat pemindahan, setakat petang ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), bencana ini melanda beberapa bahagian termasuk Kuching, Serian, Samarahan dan Miri.

“Bagi bahagian Kuching, sebanyak 33 pusat pemindahan telah disediakan untuk membantu seramai 2,494 mangsa yang melibatkan 612 buah keluarga.

“Manakala, mangsa banjir di Samarahan telah ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan yang melibatkan seramai 145 mangsa,” ujar kenyataan itu hari ini.

Di Serian, kesemua mangsa banjir yang melibatkan 719 orang itu telah dipindahkan ke lapan pusat pemindahan yang ditetapkan.

Sementara itu, bagi 29 mangsa banjir di Miri yang melibatkan empat buah keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan berdekatan.

Orang ramai dinasihati untuk sentiasa berhati-hati sepanjang tempoh ini, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.