BAU: Mangsa-mangsa banjir di daerah ini bukan sahaja terkandas malah tidak dapat dibantu disebabkan jalan-jalan utama turut dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau Tawang Linggem berkata keadaan itu menyebabkan pihaknya buntu, tatkala begitu banyak permintaan daripada mangsa banjir bagi bantuan pemindahan.

“Kami mendapat begitu banyak panggilan kecemasan sejak malam semalam, tetapi tidak dapat datang membantu disebabkan terputus hubungan.

“Lori tidak dapat masuk, bot pun tidak dapat masuk kerana ia perlu ditunda untuk dibawa ke lokasi,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurutnya, antara jalan yang terputus ialah Jalan Bau-Lundu, Jalan Bau-Tondong, Jalan Bau-Jagoi dan Jalan Bau-Krokong, yang merupakan laluan utama menghubungkan seluruh daerah ini.

Tawang berkata setakat tengah hari ini, keadaan banjir di sini semakin memburuk disebabkan paras air Sungai Sarawak Kanan yang menaik ekoran hujan tanpa henti.

Katanya antara kawasan terjejas teruk ialah di Siniawan, Tondong, Buso dan Singai, yang terletak tidak jauh dari sungai.

“Peratusan kawasan terjejas melebihi 70 peratus, sehinggakan ada kampung yang tidak pernah banjir selama ini pun banjir seperti Kampung Stass dan Kampung Grogo,” katanya.

Selain banjir, Tawang berkata daerah ini turut terjejas oleh tanah runtuh, yang menimbus jalan-jalan utama di sekitar Krokong, Tringgus, Kopit, Jagoi dan Singai.