2021 tuntut penguasaan teknologi

BETONG: Media sosial harus digunakan dengan betul sebagai agen penyatuan struktur sosial yang rapuh akibat pandemik Covid-19.
Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, interaksi sosial sepanjang 2020 ekoran pandemik menyebabkan masyarakat cenderung memberi tumpuan kepada media sosial.
“Sedar atau tidak, di situ (media sosial) kandungannya ada kala boleh menjadi alat penyatuan masyarakat. “Justeru, bersempena ketibaan tahun baharu ini marilah kita menyuburkan semangat bersatu padu dengan memanfaatkan media sosial demi mengeratkan silaturahim,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.
Jelasnya, 2021 menuntut lebih penguasaan dalam teknologi serta perkongsian pengetahuan dan kreatif. “Biarpun tiada sambutan besar-besaran, janganlah kita lupa menghantar pesanan atau ucapan tahun baharu menggunakan kemudahan terkini supaya interaksi sosial yang terganggu tidak menjejaskan kesepaduan rakyat di negeri ini.
“Saya berharap rakyat Sarawak sentiasa bersatu, mengamalkan toleransi, peduli serta prihatin terhadap orang lain serta keperluan mereka. Paling penting menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Sementara itu Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berharap 2021 menjanjikan sesuatu yang lebih bagus terutama aspek ekonomi dan kesihatan.
“Tahun 2020 menggemparkan dunia dengan wabak berbahaya, sekali gus memaksa kita akur dengan kehidupan cara baharu.
“Marilah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya usaha mengekang penularan wabak penyakit tidak sia-sia. Kita jaga kita,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu memberi jaminan, Saribas di bawah Kerajaan GPS akan terus dibangunkan dengan lebih banyak kemudahan supaya tidak ketinggalan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak