Bukan hanya industri perhotelan, semua industri juga terjejas

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap pengusaha hotel terus bersabar dengan kawalan tertentu ekoran penularan wabak Covid-19 di Sarawak.
Menurutnya, bukan hanya industri perhotelan tersepit kerana kawalan pergerakan, malah industri lain juga terjejas.
“Industri lain seperti pengusaha restoran dan agensi pelancongan turut mengalami masalah yang sama terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti hiburan.
“Sebab itu kita berharap mereka terus bertahan dalam industri dan berdoa agar wabak tersebut dapat dikawal,” katanya dalam sidang media Majlis Pelantikan Sebagai Penganjur Bersama Kejohanan MYSS Football Pes 21 Stay At Home di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, apabila lebih banyak hotel diguna sebagai tempat kuarantin bagi mereka yang masuk dari Semenanjung, Sabah dan kes wajib kuarantin, ia memberikan sedikit perniagaan untuk pengusaha hotel.
“Sekurang-kurangnya mereka masih dapat beroperasi daripada tiada perniagaan langsung. “Kalau kita lihat terdapat beberapa hotel yang jumlah penghuninya sekarang adalah lebih ramai berbanding sebelum Covid-19 melanda,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Karim menjelaskan perancangan untuk menganjur Festival Muzik Hutan Hujan, Festival Muzik Jazz, dan larian spartan namun tertakluk kepada kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Kalau masih tidak dapat dianjurkan, kita akan cuba berusaha mengadakan program secara virtual atau secara dalam talian walaupun sambutannya berbeza berbanding disaksikan secara langsung,” katanya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak