Hargai sumbangan Kerajaan Sarawak

KUCHING: Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Persendirian Cina Sarawak amat menghargai sumbangan Kerajaan Sarawak kepada sekolah Cina di negeri ini.
Pengerusinya Datuk Richard Wee berkata, sejak 2014, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan geran kepada sekolah persendirian Cina di negeri ini.
“Malah, peruntukan tersebut telah meningkat setiap tahun sebanyak RM1 juta” kata Richard dalam satu kenyataan semalam.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM3 juta pada 2014 untuk 14 Sekolah Persendirian Cina di Sarawak dan jumlah itu meningkat setiap tahun iaitu RM4 juta pada 2015; RM5 juta (2016); RM6 juta (2017); RM7 juta (2018); RM8 juta (2019) dan RM9 juta (2020).
“Justeru itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Sarawak kerana sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan berterusan terhadap pendidikan Cina di Sarawak.
“Sikap Kerajaan Sarawak yang inklusif dan melihat ke hadapan dalam dasar pendidikan amat kami hargai,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak telah menyerahkan geran pendidikan berjumlah RM10 juta kepada lembaga berkenaan.
Geran berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, semalam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak