Individu pernah rentas daerah berisiko di Sarawak perlu jalani saringan COVID

KUCHING:  Individu mempunyai sejarah perjalanan ke daerah berisiko tinggi di Sarawak dalam tempoh dua minggu lepas diminta tampil ke klinik kesihatan dan hospital swasta terdekat bagi menjalani saringan COVID-19.
Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata ini melibatkan individu yang pernah ke daerah Sri Aman, Betong, Sibu, Kanowit, Dalat, Miri, Beluru dan Sebauh, sama ada mengunjungi ahli keluarga, rakan atau menghadiri sebarang majlis perkahwinan atau pengebumian dalam tempoh berkenaan.
“Oleh kerana banyak kes positif COVID-19 dikesan di rumah panjang, penghuni rumah panjang yang mengalami gejala seperti batuk, demam, sakit tekak, kehilangan deria rasa atau bau (atau) badan rasa letih juga dinasihatkan supaya pergi ke klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan dan ujian pengesahan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mereka yang sakit dan mengalami sebarang gejala sama selepas dikunjungi rakan atau sanak-saudara yang pernah melakukan perjalanan merentasi daerah berisiko itu dalam tempoh 14 hari lepas juga perlu menjalani saringan penyakit tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak