Ingat Delot, ingat keropok lekor

MUKAH: Cukup dikenali dengan nama Delot Stall dan menjual piza bersaiz segi empat melalui nama Piza Papeyk Homemade, Fadzilah Zaffarin, 35, mengakui bukan mudah baginya saat ini meneruskan perniagaan ketika setiap orang berusaha mengekang pandemik Covid-19.
Sehingga kini, Mukah kekal diisytihar zon hijau manakala jiran terdekat Dalat dan Sibu menunjukkan peningkatan kes Covid-19.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat anak jati Kampung Tutus Hilir Mukah meneruskan perniagaannya mengikut SOP yang ditetapkan.
Selain menjual piza, Fadzilah cukup dikenali melalui jualan pelbagai makanan lain antaranya keropok lekor, sate ayam dan pelbagai lagi makanan lain yang menjadi tumpuan penduduk di Mukah.
“Selain itu, selepas PKP saya juga mula berniaga makanan di kantin Bangunan Pehin Mukah.

“Mula-mula untuk sehari saya boleh peroleh RM300 namun kini, RM100 sehari pun payah,” katanya kepada Suara Sarawak.
Selain itu, gerai jualan yang dibuka setiap hari hingga lewat petang di pekan Mukah dan Fadzilah mengakui perniagaannya mengalami penurunan dan dia kini terpaksa memilih untuk menutup gerai jualan miliknya.
“Saya ambil keputusan tutup satu gerai sebab kurang laris kerana tidak cukup menampung dan membayar pekerja.
“Saya kini berharap agar ada pekerja sambilan sahaja khasnya menunggu keputusan melanjutkan pelajaran untuk bekerja bersama-sama saya di gerai jualan,” katanya.
Kini untuk sehari, dia hanya dapat memperoleh RM200 sehingga RM300 mengikut keadaan semasa.

Tambahnya lagi, banjir yang berlaku minggu lalu merosakkan dua mesin milik keluarga yang banyak membantu untuk menghasilkan jualan seperti kuih kering dan piza.
Bagaimanapun dia tetap reda dengan keadaan tersebut.
Mengambil langkah drastik, kini dia beralih kepada cara baharu membekalkan keropok lekor segarnya hingga ke Miri, Tatau, Bintulu, Matu dan Daro dalam usaha untuk menstabilkan perolehan pendapatannya.
“Jualan keropok lekor saya paling teruk terjejas akibat PKP. Dahulu saya boleh menjual lebih 100 kilogram sehari kini susah nak jual cuma dapar jual 50 kilogram sehari.
“Tambahan harga ikan pun naik sejak bulan Disember lalu makan kos lain pun meningkat.

“Ibu saya yang juga mengusahakan tebaloi kini juga terkesan dan terpaksa mempelbagaikan produk antaranya dia menjual kelapa parut.
“Sejak PKPP lalu, jualan tebaloi kami juga juga berkurangan kerana tiada pelancong mahupun orang luar datang ke Mukah,” kongsinya lagi.
Tambahan kini jualan pizanya mengalami banyak saingan kerana ramai mahir menghasilkannya dan dia terpaksa memperlahankan jualannya untuk tempoh ini.
“Cuma hujung minggu saya hasilkan piza ini, sebab banyak lokasi permintaan saya terima antaranya dari Oya, UiTM Mukah dan banyak.
“Hanya dengan permintaan ini saya mampu hantarkan pesanan dan dapat membantu perolehan jualan dapat bertambah,”ujarnya.
Mengimbau kembali saat menjual di Tapak Kala Dana Mukah yang kini ditutup katanya, dia dapat memperoleh lebih RM1,500 untuk hasil selama tiga hari dengan hanya berniaga di Tapak Kaul Kala Dana.
“Hasil kami di kawasan Tapak Kala Dana dulu bersamaan dengan hasil yang kami peroleh sepanjang lima hari bekerja biasa walaupun cuma operasi dari jam 3 hingga 6 petang sebanyak RM1,500” katanya yang turut berharap rakyat tempatan terus memberi sokongan terhadap perniagaannya itu.









 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak