Jangan keluar jika tiada urusan

SIBU: Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee menyifatkan penguncian sesetengah operasi di bandar Sibu di bawah SOP PKPB merupakan keputusan yang tepat.
“Ini sangat penting memandangkan kes positif baharu Kluster Pasai masih tinggi dan proses pengesanan kontak rapat dan pengesanan kes aktif juga masih giat dilaksanakan,” tegas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu sebentar tadi.
Katanya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu dan Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu telah menunjukkan komitmen tinggi selama ini bagi berusaha memutuskan rantaian jangkitan dengan memberikan perkhidmatan calitan saringan Covid-19 di beberapa lokasi di sini.

Dr Annuar Rapaee

“PKPB juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri dan saya percaya pihak penguatkuasaan kita sentiasa di lapangan untuk memantau keadaan semasa.
“Warga Sibu juga turut menunjukkan kesedaran tinggi dengan mengambil peluang untuk ujian calitan di samping duduk rumah memandangkan bandar Sibu kelihatan sedikit lenggang dari kunjungan orang ramai,” ujar Adun Nangka itu.
Bagaimanapun, kata beliau, sebarang tindakan lanjut mengenai situasi Covid-19 di Sibu bergantung kepada JPBN untuk menentukan sebarang tindakan dan keputusan yang diambil dan buat masa ini Sibu dalam tempoh PKPB.
Sementara itu, beliau juga turut menggesa penduduk Sibu agar terus mematuhi PKPB serta terus kekal berada di rumah dan hanya keluar bila ada urusan penting sahaja.
Sejak dua hari lalu, sesetengah masyarakat di sini menggesa supaya dilaksanakan PKPD di bandar ini kerana tiada tanda-tanda kes menurun.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak