Kami rugi banyak, tidak apa asal warga Sibu selamat

SIBU: Susulan kebimbangan terhadap Kluster Pasai, beberapa premis khususnya kedai kopi di sini didapati tutup.
Tinjauan Suara Sarawak mendapati, beberapa kedai kopi tidak dibuka hari ini sementara mereka yang beroperasi mengalami kekurangan sebanyak 50 peratus pelanggan berbanding seminggu yang lalu sebelum berada di zon merah dan pelaksanaan PKPB.
Penduduk di bandar ini didapati bimbang untuk makan dan minum di luar sekarang yang telah menyebabkan kedai kopi tutup awal dari masa sepatutnya sebelum ini.
Pasar raya dan kawasan bandar serta di tempat lain juga dilihat dikunjungi dengan jumlah yang sedikit di kalangan orang ramai.

TONG ING KOK

Sementara itu, Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Bahagian Sibu Tong Ing Kok berkata, disebabkan Kluster Pasai itu menyebabkan orang ramai bimbang untuk mengunjungi kedai kopi.
“Ya, memang betul. Banyak orang bimbang mahu duduk di kedai kopi sekarang. Kita boleh tengok pasar Sibu pun sudah kurang orang,” katanya di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, peningkatan kes positif COVID-19 di Sibu telah memberi kesan buruk kepada perniagaan kedai makanan.
“Semalam kebanyakan kedai kopi mengalami penurunan 50 peratus pelanggan berbanding seminggu yang lalu. Sekiranya lebih banyak orang didapati positif, perniagaan kita akan terjejas lebih teruk lagi,” katanya lagi.
Menurut Tong lagi, orang ramai tidak mahu mengambil risiko makan di luar sekarang dan lebih suka makan di rumah sementara bagi pekerja pejabat mereka akan membawa makanan dari rumah.
“Sekiranya tiada penularan jangkitan dari Kluster Pasai ini, ia tidak akan menimbulkan rasa panik di kalangan orang ramai. Orang sekarang lebih suka berada di rumah kerana takut dijangkiti COVID-19,” katanya.
Bagi mereka yang makan di luar, beliau sempat menasihati mereka untuk mematuhi garis panduan SOP dengan tegas.
“Jangan lupa untuk mengimbas kod MySejahtera. Juga, pakai pelitup muka dan kerap cuci tangan,” nasihatnya.
TUTUP TERUS…Kelihatan beberapa kedai kopi di sini tutup kerana bimbang dengan Kluster Pasai.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak