Kawalan kawasan panas diperketatkan

KUCHING: Penguatkuasaan langkah keselamatan di sempadan Sarawak perlu diperketatkan lagi khususnya di kawasan panas di negeri ini, tegas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing.
Katanya, ia usaha berterusan menghalang lebih banyak kemasukan pendatang azing tanpa izin (Pati) ke Sarawak melalui sempadan di kawasan panas seperti Bau, Lundu, Telok Melano, Biawak dan Serikin.
“Usaha ini bukan hanya untuk menangani masalah permerdagangan manusia dan penyeludupan ke Sarawak, tetapi mengekang penyebaran Covid-19 di sempadan Telok Melano, Biawak, Serian dan Lubok Antu yang turut dikategorikan sebagai kawasan panas.
“Kawasan pos sempadan ini berdekatan kampung di keduadua negara dan memudahkan pendatang masuk ke Sarawak,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menpegerusikan mesyuarat mingguan Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak (SBSC) bagi mengemas kini dan berbincang mengenai keselamatan sempadan di Sarawak di sini baru-baru ini.
Masing menegaskan, usaha di kawasan panas dan Kalimantan ini perlu dipergiatkan kerana hanya memerlukan beberapa ratus meter sahaja membolehkan mereka masuk ke Sarawak.
“Perkara amat berbahaya kerana mereka boleh menyeludup masuk. “Apa lebih membimbangkan lagi, mereka boleh menyebabkan berlakunya penularan Covid-19,” tegas beliau lagi.
Justeru Masing memberitahu, Kerajaan Sarawak memberikan keutamaan menyediakan keperluan yang diperlukan agar pihak berkuasa berkaitan dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk melindungi sempadan, terutama di kawasan utama ini.
Beliau menjelaskan, kenderaan peronda seperti motosikal berkuasa tinggi, ATV dan kereta pacuan 4×4 akan disediakan untuk tujuan tersebut. Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan meluahkan rasa prihatin mengenai perkara itu susulan masih ramai pendatang berada di sempadan Sarawak terutama di kawasan ladang.
Sementara itu, di kawasan sempadan yang lebih jauh seperti Tapak Megah, Rantau Pandora dan Ba’ Kelalan, beliau memberitahu, keperluan telekomunikasi asas perlu disediakan di kawasan tersebut.
“Saya mencadangkan supaya pemasangan sistem solar ConnectMe di kawasan yang tidak dapat dicapai melalui menara telekomunikasi,” ujar beliau lagi.
Mesyuarat itu dihadiri agensi penguatkuasaan yang lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Sarawak selain turut dihadiri residen setiap bahagian serta wakil pelbagai agensi melalui aplikasi Zoom.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak