Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM81 juta kepada JPBNS

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan berjumlah RM81 juta untuk pengoperasian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Januari hingga Jun 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan yang disalurkan itu termasuk menubuhkan makmal Polymerase Chain Reaction (PCR) di Kapit.
“Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Kapit memohon agar sebuah makmal PCR ditubuhkan di Kapit berikutan sampel Covid-19 yang diuji mengambil masa panjang untuk mengetahui keputusan ujian.
“Makmal ini sama seperti makmal yang didirikan di Limbang dan Ketua Menteri telah meluluskannya dengan menggunakan dana negeri Sarawak supaya Kapit memiliki makmal sendiri,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.
Ujar beliau, usaha kerajaan Sarawak ini menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
“Dengan ini, kami berharap ia akan dapat menyediakan kemudahan yang mencukupi termasuk pusat karantin, meningkatkan kapasiti tempat tidur dan juga untuk ujian seperti makmal PCR di Kapit,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah menyeru semua rakyat untuk menangani wabak Covid-19 dan kita tidak boleh bergantung dengan peruntukan sahaja kerana ia tidak mencukupi.
“Tetapi, sokongan dan kerjasama penuh dari semua orang membolehkan ia mencukupi dan kita menang dalam memutuskan rantaian ini.
“Untuk berjaya, kita memerlukan kerjasama dari semua rakyat Sarawak. Oleh itu, tolong bekerjasama dengan kami. Ini adalah untuk kepentingan anda, keluarga dan seluruh Sarawak. Mari kita jaga Sarawak,” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak