Minuman keras tidak berkastam pelbagai jenama dirampas

MIRI: Sejumlah 1,963.37 liter minuman keras tidak berkastam pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM12,415.14 ( jumlah duti cukai RM34,001.34) dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri dan Bintulu dalam serbuan pada petang Rabu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri Sarawak Herman Shah Abdullah, serbuan pada jam 3 petang itu dilakukan dengan kerjasama Cawangan Risikan Zon 6 Sarawak di sebuah premis di alamat Jalan Sea View Miri.
“Seramai tiga individu telah ditahan dan disyaki bagi siasatan lanjut, dua antaranya lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi warganegara asing manakala seorang wanita ialah rakyat tempatan.
“Kesemua suspek yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 44 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dedahnya lagi modus operandi telah menggunakan rumah kediaman tersebut untuk menyimpan kesemua barang yang tidak berkastam bagi mengelak daripada pandangan pihak berkuasa.
“Seterusnya barang tersebut akan dihantar ke lokasi menggunakan kenderaan jenis multi-purpose vehicle (MPV) dan station wagon untuk dibekalkan kepada pembeli.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan larangan,
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar,” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, katanya orang ramai digesa untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088- 8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” nasihatnya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak