Mukah, Matu dilanda banjir namun masih terkawal

MUKAH: Daerah Mukah dan Matu mula dilanda banjir sejak petang tadi, dan setakat ini keadaan dilaporkan terkawal.
Menurut Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mukah Kapten (PA) Zuriza Sharkaw, paras air mula naik di empat buah kampung iaitu Kampung Sungai Alo, Kampung Bunut, Kampung Tanjong dan Kampung Sg Ragei.
“Paras air mula naik sekitar jam 2.30 petang yang mana dua lokasi menunjukkan paras air setinggi sekaki akibat hujan lebat serta sistem pengaliran yang tidak memuaskan,” katanya pada Suara Sarawak.
Tambahnya tiga buah rumah turut dimasuki air.
Sementara berdasarkan laporan APM Daerah Matu, sebanyak lima kawasan telah dinaiki air.
“Kawasan yang terbabit adalah Pekan Matu, Kampung Dagang Sekaan, Kampung Muut Sekaan, Kampung Jemoreng Zon 4 dan Kampung Bertong dan semua jalan turut dinaiki air,” katanya.
Secara keseluruhan paras air memperlihatkan pola menaik sejak jam 4 petang di kawasan Matu.
Orang awam turut dinasihatkan untuk terus berwaspada dengan kenaikan paras air pasang dan hujan lebat yang diramalkan berlaku pada malam ini.
Bagi orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan dari pihak APM Mukah, mereka boleh menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Daerah Mukah dan Dalat di 084-874814 dan Daerah Matu di 084-832231.


 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak