Tatacara kemasukan Sarawak dan SOP terus dikuat kuasa sehingga 31 Mac 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan untuk melanjutkan penguat kuasa semua Garis Panduan (SOP) yang telah diguna pakai pada tahun 2020 termasuk tatacara kemasukan ke Sarawak sehingga 31 Mac 2021.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.
“Oleh itu, SOP dan tatacara sedia ada dikekalkan sehingga 31 Mac 2021,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambahnya, PDRM telah mengeluarkan tiga kompaun dengan dua di Daerah Kuching dan satu di Betong kerana telah melanggar SOP.
“Sementara itu, pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah mengeluarkan 79 notis amaran lisan dan bertulis di bawah PBT seliaan mereka iaitu SMC (27), MPP (16), BDA (11), MD Marudi (8), DBKU (5), MD Lawas (5), MD Serian (3), MDDM (3) dan MPKS (1),” jelasnya.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menasihatkan orang ramai supaya memastikan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa kerana kes jangkitan Covid-19 telah berada di dalam komuniti ekoran terdapat sejumlah kes jangkitan tempatan yang telah dilaporkan di Daerah Kuching, Meradong dan Bintulu.
“Jangan leka dan ambil mudah SOP.
“Orang ramai juga diingatkan agar tidak memandang ringan dengan keadaan semasa di Sarawak, malah kita harus sentiasa berwaspada dan menjaga diri, keluarga serta masyarakat untuk memutuskan rantai Covid-19,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak