30 pelajar SMK Saratok jalani kuarantin wajib di asrama

SARATOK: Seramai 30 pelajar SMK Saratok kini menjalani kuarantin wajib selama 14 hari kerana merupakan kontak rapat kepada rakan sekelas mereka yang disahkan positif Covid-19.

Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju berkata, mereka yang terdiri daripada 12 pelajar harian dan 18 pelajar asrama itu ditempatkan di satu blok berasingan asrama sekolah berkenaan sehingga tamat tempoh kuarantin.

“Pusat Khidmat Saratok dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai perkara tersebut dan segala persiapan menyediakan tempat tinggal untuk pelajar yang terlibat telah diuruskan dengan sempurna oleh penyelia dan warden asrama,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurut Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, pelajar yang disahkan positif itu berasal daripada Rh Sidah, Sg Brangan.

“Sementara keputusan ujian calitan Covid-19 bagi kesemua 31 pelajar dan 11 guru sekolah tersebut pada 8 Februari lalu disahkan negatif.

“Namun kesemua mereka masih perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sehingga ujian saringan kedua dilaksanakan pada 17 Februari nanti,” ujarnya.

Ali turut menyatakan kesedian untuk menanggung semua kos makanan dan minuman mereka semasa tempoh kuarantin bagi mengurangkan beban perbelanjaan pihak sekolah.

“Kami akan memantau perkembangan ini secara dekat dan bersedia untuk memberikan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Bencana Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah, Majlis Daerah Saratok dan pihak sekolah atas segala usaha yang telah dilakukan,” tambahnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak