Berganding bahu bantu anak-anak dapatkan ilmu

USAHA Mengajar dan Belajar dari Rumah (PdPR) menjadi isu popular kerana pelbagai masalah dan rungutan timbul akibat kaedah pembelajaran ini. Ia menjadi topik hangat di Sarawak seperti isu geografi negeri yang luas, kawasan pedalaman dan luar bandar.

Isu menara telekomunikasi yang lemah dan belum siap sehingga menyukarkan PdPR berlangsung juga diperkatakan segenap masyarakat. Ibu bapa mengalami masalah mengajar anak mereka kerana hanya mempunyai satu medium belajar atau peranti seperti telefon bimbit.

Para guru juga sukar memantau pelajar yang terlalu ramai semasa PdPR diadakan, malah mereka sukar mendapat kehadiran 100 peratus bagi satu sesi pembelajaran. Malah, ramai persatuan dan pertubuhan yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan sesuatu dalam membendung kerisauan ini supaya jurang pendidikan pelajar di bandar dan luar bandar, pelajar kaya dan miskin dan sebagainya dapat diatasi.

Telefon pintar pada waktu ini seolah-olah menjadi satu kemudahan yang amat diperlukan oleh anak-anak seawal persekolahan tahun satu. Jika ketika sebelum Covid-19, ada ibu bapa yang mengharamkan anak-anak mempunyai telefon pintar kerana dikhuatiri ketagih peranti itu.

Namun, tidak lagi sekarang ini apabila telefon pintar menjadi salah satu kemudahan alternatif untuk anak-anak mengikuti PdPR sekiranya merela tidak mempunyai komputer di rumah.

Malah, peranan besar guru untuk mengawal, memantau dan membimbing anak-anak belajar telah dipindahkan kepada ibu bapa. Kemahiran-kemahiran ini perlu kerana hanya ibu bapa yang dapat memberi tunjuk ajar kepada anak-anak.

Ibu bapa perlu mengorbankan masa dan tenaga mereka membantu anak-anak sekiranya mereka tidak mahu anak-anak ketinggalan pelajaran.

Apa yang menjadi kerisauan kita adalah anak-anak yang berada di luar bandar yang telah jauh ketinggalan kemudahan dan akses pembelajaran. Oleh itu, KPM perlu menangani permasalahan ini dengan baik, isu tiada akses Internet terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan bahawa seluruh Sarawak bakal mempunyai akses Internet menjelang tahun 2030 sebagai salah satu usaha ke arah ekonomi digital.

Namun, sedang usaha ini giat dipromosikan dan diuar-uarkan, dunia pula dilanda wabak Covid-19 yang telah mengorbankan ramai jiwa. Pandemik ini sekali gus bakal melambatkan lagi usaha kerajaan menyediakan kemudahan seperti tiang telekomunikasi ke luar bandar akibat kekurangan tenaga kerja dan sebagainya.

Bagaimanapun, usaha ini tidak harus berhenti, malah Kerajaan Persekutuan wajar menyokong usaha sedemikian dengan memberi suntikan dana supaya usaha ini dapat dipercepatkan. Akses kepada telekomunikasi di kawasan luar bandar di Sarawak pada waktu ini amat kritikal jika dilihat dan dikaji.

Golongan yang terjejas sudah pasti generasi muda seperti murid sekolah dan penduduk di luar bandar, malah terdapat juga guru yang terpaksa meredah hutan dan sungai untuk bertemu dengan pelajar.

Isu pendidikan di Sarawak boleh dikatakan telah basi sejak bermulanya usaha menaik taraf sekolah daif di negeri ini suatu ketika dahulu apabila isu ini dijadikan bahan politik oleh sesetengah pihak.

Enggan menuding jari kepada sesiapa, kini adalah masa yang paling sesuai untuk kita bekerjasama membantu anak-anak mendapatkan ilmu pendidikan yang sewajarnya.

Oleh itu, kita berharap Kerajaan Persekutuan menerusi KPM supaya dapat membantu anak-anak di luar bandar agar mereka dapat mengikuti PdPR seperti pelajar di bandar. Malah, ibu bapa perlu menyokong, memantau dan memberi perhatian kepada anak-anak semasa mereka mengikuti PdPR bersama-sama guru.

Sudah pasti, apa yang sedang dialami oleh murid-murid, pelajar, ibu bapa, malah, guru, terutama di kawasan luar bandar atau pedalaman banyak kekurangannya.

Namun apa yang pasti, sekurangkurangnya pembelajaran masih lagi berjalan, walaupun tidak selancar seperti biasa. Memang tidak dapat dinafikan, ada yang terjejas teruk, sepanjang Covid-19 ini, namun sebagai rakyat Sarawak kita harus bersyukur dengan apa yang ada, dan bantuan kerajaan sebelum ini. Ini kerana ramai lagi rakyat, di negara yang terjejas, mengalami situasi yang jauh lebih teruk daripada kita.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak