Bersedia hadapi bencana berganda

KOTA SAMARAHAN: Penduduk bahagian Samarahan perlu bersedia menghadapi bencana berganda melibatkan banjir dan pendemik Covid-19. Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, bencana banjir di Sarawak dijangka berlaku lagi dengan air pasang besar diramal berlaku pada penghujung Februari.

“Ini merupakan gelombang ketiga (bencana banjir) di Sarawak dan menurut pandangan beberapa agensi kerajaan, keadaan ini akan berulang terutamanya pada penghujung Februari ini apabila kemuncak fenomena air pasang besar berlaku.

“Saya bersama-sama beberapa agensi kerajaan seperti DID, IADA dan Jabatan Pertanian mendapati bencana banjir ini berpunca daripada air mengalir perlahan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, beliau sedang bekerjasama dengan agensi berkenaan mencari penyelesaian jangka panjang termasuk membina kawasan pengairan dan saliran baharu serta memperbanyakkan kawasan saliran air dari kawasan pertanian dan ladang ke sungai-sungai utama.

“Meskipun kerja-kerja penyelenggaraan perparitan telah dilaksanakan secara berkala, namun ia belum dapat menyelesaikan masalah yang menjadi faktor bencana banjir memandangkan terdapat faktor lain seperti kewujudan ladang-ladang dan kawasan pertanian yang luas yang menuntut supaya sistem pengairan dan saliran perlu diperbaharui mengikut keperluaan semasa,” ujarnya.

Rubiah mengadakan tinjauan di beberapa kawasan di sekitar Samarahan bagi mencari penyelesaian jangka panjang bagi mencari penyelesaian masalah banjir.

Turut serta dalam tinjauan berkenaan ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Samarahan, Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan dan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan.

Beliau selepas itu mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Bangka Semong dan Dewan Suarah serta menyampaikan bantuan segera kepada petugas dan mangsa banjir di kawasan berkenaan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak