Bomba Sarawak guna pendekatan dalam talian sebar maklumat keselamatan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggunakan pendekatan dalam talian untuk menyebarkan maklumat tentang keselamatan kebakaran kepada masyarakat ekoran berlaku pandemik Covid-19.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, JBPM Sarawak Mohamad Fauzi Mohamad Kifli berkata, pihaknya tetap meneruskan usaha mmeupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat meskipun kini ia dijalankan dengan suasana yang berbeza.

“Kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, dan program yang kita jalankan tidak sama seperti sebelum ini kerana tiada perhimpunan besar dalam dewan dibenarkan dan sebagainya.

“Oleh itu, pada tahun ini kita menggunakan pendekatan yang sesuai seperti media sosial untuk berkongsi maklumat. Pada saya ia merupakan satu kaedah yang baik dan cepat kerana maklumat boleh disampaikan secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara ‘Juh Beloya’ sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun Baharu Cina 2021 secara langsung menerusi Facebook Rasmi JBPM Negeri Sarawak, hari ini.

Tambah Fauzi, ketika musim perayaan program keselamatan kebakaran akan diberikan tumpuan kerana dalam keadaan ini masyarakat teruja dengan persiapan hari perayaan.

“Keterujaan mereka ini juga boleh mengundang sindrom 3L (Lupa,Lalai dan Leka) dan suasana kurang baik dari aspek keselamatan kebakaran boleh berlaku.

“Ia juga boleh menyumbang kepada kebakaran, disebabkan itu kita (JBPM Sarawak) bersama-sama rakan proaktif mengadakan program keselamatan kebakaran dan memberikan fokus menjelang musim perayaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan konsep 3L itu bukan sahaja perlu dielakkan ketika musim perayaan sahaja tetapi juga dalam kehidupan seharian.

“Justeru saya berharap agar masyarakat tidak memandang mudah aspek keselamatan kebakaran kepada diri, keluarga dan masyarakat secara amnya.

“Masyarakat juga perlu memberikan penekanan kepada konsep 3P (Pengawasan,Pencegahan, Pelindungan) dan jangan hanya fokus merakam gambar ketika berlaku kebakaran tetapi perlu membuat laporan kebakaran kepada JBPM dengan cepat,” tegasnya lagi.

Kempen kesedaran sempena musim perayaan oleh JBPM Sarawak dijalankan setiap tahun dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah dan demonstrasi di pusat beli-belah, rumah panjang, tempat perhimpunan sekolah, stesen minyak dan banyak lagi.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa segala bentuk program dan aktiviti yang dijalankan oleh JBPM Sarawak dilakukan dengan pematuhan SOP yang ketat.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak