Dicekup sedang leka berjudi holo

PADAWAN: Sembilan lelaki warga tempatan dicekup polis ketika leka bermain judi holo di dalam sebuah premis makan tertutup berhampiran kawasan bandar Batu Kawa, di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kesemua suspek berusia 47 hingga 62 tahun itu ditangkap dalam serbuan Ops Limau yang dijalankan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 6 petang semalam.

“Pasukan serbuan memasuki premis melalui salah satu pintu di bahagian dapur kedai dan melalui satu lagi pintu di kaunter kedai sebelum menjumpai sekumpulan lelaki sedang bermain judi jenis how hey how (holo).

“Kesemua suspek yang berada di dalam premis itu seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Aidil menambah pasukan serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM3,711 serta peralatan judi holo yang digunakan.

Dedahnya, hasil semakan rekod polis mendapati salah seorang suspek yang juga dipercayai sebagai penganjur perjudian itu mempunyai enam rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan dipohon reman hari ini.

RAMPAS…Peralatan judi holo yang dirampas.
Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak