Fasa awal Vaksin Covid-19 harus beri keutamaan kepada kawasan pedalaman

KUCHING: Fasa awal vaksin Covid-19 di Sarawak hendaklah diberi keutamaan kepada kawasan pedalaman yang memerlukan tindakan pantas Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri.

Timbalan Presiden Covas Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, setakat ini fasa pertama mungkin hanya vaksin Pfizer yang akan digunakan tetapi agak sukar untuk dibawa ke kawasan pedalaman kerana kekangan logistik.

“Sebenarnya, vaksin Astrazeneca dan Sinovac lebih sesuai untuk diedarkan ke kawasan pedalaman seperti Kapit dan Song.

“Namun demikian, kita tidak pasti sama ada kedua-dua jenis vaksin berkenaan dapat dimasukkan ke dalam program vaksinasi peringkat pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak di sini, semalam.

Tambah Shamsudin, pemahaman awam mengenai vaksin di Sarawak masih rendah terutamanya kawasan luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu, usaha pendidikan dan penyampaian maklumat kepada rakyat di Sarawak harus diperkasakan.

Jelasnya, laporan penerimaan awam terhadap vaksin di peringkat kebangsaan hanya 64.5 peratus.

“Covas akan berusaha supaya rakyat Sarawak sanggup menerima vaksin sebanyak 80 peratus yang harus digerakkan dari sekarang secara bersepadu antara ahli-ahli akademik, pemimpin politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak