Guna perahu pergi rumah pelajar

KEADAAN yang sama juga menajdi cabaran guru dari Sekolah Long Lellang, Lawrence Markus, 26, yang berkhidmat lebih setahun di sekolah berkenaan.

Ujarnya, dia kini bergantung kepada jalur lebar milik sekolah untuk berkomunikasi dengan mereka berada di luar.

“Tempoh PdPR ini agak mencabar bagi saya.

“Saya dan guru-guru lain berusaha sedaya upaya supaya murid-murid kami mendapat pembelajaran terbaik dengan menyediakan lembaran kerja, nota atau bahan-bahan pembelajaran yang sesuai pada setiap minggu.

“Bahan-bahan ini akan diambil oleh wakil dari setiap kampung di pondok keselamatan sekolah untuk diagihkan kepada murid-murid.

CIKGU Lawrence Markus bersamasama guru lain bersedia menaiki perahu untuk menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar.

“Ada kalanya saya pergi ke rumah pelajar menggunakan perahu yang disediakan oleh penduduk kampung. “Murid-murid kelihatan gembira apabila melihat kami sampai di kampung mereka,” jelas anak jati dari Long Tepen ini.

Kini pihak sekolah turut menyediakan jadual bagi memudahkan guru memantau murid atau menghantar lembaran kerja selain mengutip lembaran kerja ke beberapa kampung berdekatan.

“Perjalanan guru ke kampung murid hanya menggunakan perahu yang mengambil masa lebih sejam. Ada juga yang berjalan kaki dari sekolah melalui kawasan hutan ke kawasan kampung pelajar,” jelasnya.

Bagi Lawrence, keadaan yang dialaminya kini diibaratkan sebagai alah bisa tegal biasa kerana dia begitu memahami akan keadaan pelajar yang dahagakan ilmu meskipun pelbagai cabaran dilalui.

“Kita sedaya upaya berusaha supaya murid dapat belajar di rumah walaupun tiada akses Internet.

“Dahulu kita dapat buat Pembelajaran dan Pemudahcaraan(PdPc) secara bersemuka dengan murid, namun kini tidak dapat lagi ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Demikianlah antara bibit kisah kehidupan guru di kawasan pedalaman di Sarawak yang jelas menggambarkan keadaan sebenar dan cabaran yang turut dihadapi ribuan guru yang mengajar di luar bandar dan di kawasan pedalaman di negara ini.

Pepatah tiada rotan akar pun berguna jelas menjadi pendorong guru ini untuk terus mencurahkan ilmu kepada pelajar meskipun terpaksa melalui sungai yang berliku dan jalan balak yang cukup jauh dari sekolah.

WAJAH ceria pelajar apabila Cikgu Lawrence tiba di rumah mereka.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak