Irfan Bakti perkemaskan semua posisi

JURULATIH Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim akan memanfaatkan tempoh dua minggu lebih untuk memperkemaskan semua posisi.

Saingan Liga Malaysia 2021 bermula pada 5 Mac depan, dan Irfan bangga dengan prestasi dan komitmen anak-anak buahnya.

“Sepanjang tempoh yang ada, akan kami manfaatkan untuk memperbaiki segala kelemahan di segenap posisi,” ujar Irfan.

Mereka dijangka akan mengadakan aksi persahabatan dalam masa terdekat bagi menguji kombinasi pemain.

Menurut Irfan, anak-anak buahnya kelihatan begitu bersemangat dan tidak sabar menunggu detik saingan.

“Saya begitu yakin dengan pemain musim ini, mereka begitu gigih ketika berlatih… jadi ia merupakan petanda yang cukup baik,” jelasnya.

KCFC merupakan antara pasukan pilihan dalam Liga Premier musim ini, dan pihak pengurusan menyasarkan layak ke Liga Super 2022.

KCFC mempertaruhkan rangkaian serangan dari Brazil, Hudson Dias dan Bryan Jones untuk meledak jaringan.

Malah mereka juga akan diperkuatkan seorang lagi pemain dari Brazil untuk posisi pertahanan, Aylton Fereira.

KCFC sepatutnya berada di Johor sekarang ini, namun pertandingan lima penjuru terpaksa dibatalkan ekoran situasi Covid-19 yang tidak mengizinkan.

Lima pasukan yang terbabit ialah JDT, Pahang, Terengganu, Melaka dan KCFC.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak