Lahir jurutera bidang perkayuan

MIRI: Jurutera lepasan universiti dalam bidang teknologi perkayuan serta mahasiswa diserap ke syarikat berasaskan kayu bagi mewujudkan bidang kerjaya dalam industri perkayuan.

Pegawai Eksekutif Majlis KayuKayan Malaysia (MTC) Muhtar Suhaili berkata, untuk tujuan itu MTC melancarkan Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah dalam industri kayukayan pada Mac depan.

“Keperluan khidmat jurutera menjadi lebih penting apabila syarikat berasaskan kayu mula beralih ke arah pendigitalan dan pembuatan pintar akibat kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan,” katanya di sini baru-baru ini.

Muhtar Suhaili memberitahu program terbabit akan menggabungkan kerjasama antara MTC, institusi pengajian dan politeknik tempatan serta persatuan kayu-kayan.

Malahan, kebanyakan perincian dalam proses pembuatan akan mudah difahami oleh jurutera yang menyertai program terbabit. “Ini sebahagian daripada Pelan Lima Tahun MTC yang memberi tumpuan kepada membina dan meningkatkan bilangan pekerja yang berpengetahuan dalam industri,” ujarnya.

Mukhar Suhaili menarik perhatian Program Penempatan Jurutera merupakan program ditawarkan kepada jurutera untuk menjalani latihan di tempat kerja di bawah bimbingan profesional selama setahun. Sementara Program Latihan Prasiswazah terbuka kepada mahasiswa yang sedang melakukan latihan industri.

Kos latihan serta elaun akan ditanggung oleh MTC. Muhtar berkata program itu dilancarkan pada Mac oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bersamasama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara MTC dengan enam persatuan kayu-kayan, lapan universiti dan dua politeknik.

MTC ditubuhkan pada Januari 1992 untuk menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Malaysia di peringkat global.

Objektif utamanya mempromosikan dan membangunkan pasaran bagi produk kayu Malaysia di peringkat global, menggalakkan pembangunan industri dengan meningkatkan penggunaan teknologi, meningkatkan bekalan bahan mentah, menyediakan perkhidmatan maklumat dan meningkatkan imej industri perkayuan Malaysia di persada dunia. Maklumat lanjut mengenai aktiviti MTC boleh diperoleh dari www.mtc.com.my.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak