Naila lebarkan sayap perniagaan spa kecantikan

KUCHING: Berbekalkan kemahiran asas dalam bidang kecantikan, pemilik nama Naila Syarfina Abdul Aziz, 34, kini giat melebarkan sayap dalam bidang perniagaan spa dan kecantikan.

Perniagaan yang bertapak sejak 2018 itu, dimulakan setelah dia tamat kontrak perkhidmatannya di sebuah hospital swasta di Brunei Darussalam.

“Saya mulai berkecimpung dalam dunia perniagaan spa dan kecantikan secara sambilan, dengan berbekalkan satu set alat kecantikan yang diperoleh semasa mengikuti kursus berbayar 2015.

“Ekoran tidak mempunyai sebarang pekerjaan pada waktu tersebut, saya mengambil langkah untuk membuka operasi spa dan kecantikan iaitu Naila Aziz Beauty 2018 sehingga ke hari ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Naila, dia juga mengembangkan perniagaan spa dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti penjagaan berpantang kepada ibu dan bayi.

NAILA turut mematuhi SOP yang ditetapkan semasa memberi perkhidmatan kepada pelanggannya.

“Saya suka melihat seseorang wanita itu yang bukan saja tampil cantik secara luaran malah juga dalaman.

“Di sini kami menyediakan pelbagai perkhidmatan penjagaan kulit dan wajah khas untuk wanita dan lelaki dengan dengan kadar harga mampu milik.

“Pakej yang kami sediakan bermula serendah RM30 sehingga RM180 tertakluk dengan rawatan yang dipilih oleh pelanggan.

“Untuk penjagaan berpantang, pakej bermula dengan RM800 ke atas bergantung dengan keperluan pelanggan,” katanya.

Dia menjelaskan perniagaan spa yang terletak di Metrocity Wellbest Excellent Centre itu beroperasi bermula dari 9 pagi sehingga 5 petang. Mengulas tentang pandemik yang melanda, Naila meluahkan rasa syukur kerana perniagaannya masih dapat diteruskan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Meskipun pendapatan agak menurun sejak Covid-19 melanda, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus maju dalam perniagaan tersebut.

“Setakat ini, saya hanya mempunyai dua cawangan iaitu satu di Kuching manakala untuk kawasan di luar Kuching kami hanya bergerak secara mobil spa sahaja.

“Saya ingin berterima kasih kepada Jabatan Wanita Keluarga Sarawak (JWKS) kerana membantu saya menyediakan tapak ini untuk saya berniaga,” katanya.

Menurut Naila, dia yang juga merupakan antara usahawan yang dilahirkan oleh JWKS dan mendapat pelbagai bantuan daripada agensi tersebut.

Dia juga berhasrat membuka satu lagi cawangan baharu di Satok pada masa akan datang.

“Saya berharap suatu hari nanti perkhidmatan spa ini dapat maju selangkah ke hadapan menjadi akademi pembelajaran sebagai platform memperkasakan wanita di luar terutama ibu tunggal.

“Bukan sahaja untuk rawatan kecantikan, tetapi juga bahagian jahitan dan kulinari,” ujarnya lagi.

SEBUAH ruangan khas disediakan untuk keselesaan pelanggan

PELBAGAI perkhidmatan yang ditawarkan oleh Naila termasuk untuk ibu dan bayi.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak