Penjaga jentolak ditemui selamat selepas hilang dalam hutan

KOTA SAMARAHAN: Penjaga jentolak ditemui selamat hari ini, selepas dilaporkan hilang ketika mencari kayu di kawasan hutan Jalan Meranek berdekatan kilang sawit Kampung Endap.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, lelaki berusia 51 tahun itu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba.

“Mangsa seterusnya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa yang bekerja sebagai penjaga jentolak di dalam hutan di belakang kilang sawit Kampung Endap dilaporkan hilang kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Laporan dibuat oleh abang ipar mangsa, selepas mangsa menghubunginya memberitahu dirinya sesat di dalam hutan.

Orang kampung telah berusaha mencarinya tetapi gagal, menyebabkan abang iparnya memohon bantuan bomba.

Turut terlibat dalam SAR berkenaan ialah anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak