Pokok pisang ditebang keluarkan jantung

MATU: Seorang penduduk di Kampung Kuala Matu Hilir di sini, terkejut apabila pokok pisang awak yang ditebangnya beberapa hari lalu mengeluarkan jantung.

Jimry Sepot, 50, berkata, lebih menghairankan apabila pokok pisang tua yang ditanamnya itu pernah berbuah sebelum ini.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menebang pokok berkenaan kerana sekadar ingin membersih dan meluaskan halaman rumahnya.

“Saya cuma mahu membersihkan persekitaran rumah untuk mengelak kehadiran haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking. Tambahan pula sekarang musim hujan.

“Jadi saya buat keputusan untuk menebangnya. Tak sangka pula lain yang jadi kerana biasanya pokok pisang mengeluarkan buah selepas 10 hingga 12 bulan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jimry berkata, pokok itu ditanamnya sejak beberapa tahun lalu selain mempunyai beberapa batang anak pisang yang tumbuh di sekitarnya.

Katanya, dia pernah berhasrat untuk menebang pokok terbabit namun tidak dapat melakukannya berikutan kekangan masa.

“Akhirnya saya berkesempatan menebangnya minggu lalu. Pada awalnya biasa saja tetapi beberapa hari kemudian, ia tumbuh kembali bersama jantungnya sekali,” katanya.

Foto kejadian pelik itu tular di laman sosial Facebook miliknya sebelum mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak