REZEKI berniaga donat jadi tarikan

KUCHING: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, mempunyai hikmahnya tersendiri dalam kehidupan setiap individu.

Meskipun penuh dengan pelbagai cabaran, namun turut terselit rezeki di sebalik peristiwa yang berlaku.

Zuridah Juruh, 27, berkata, dalam tempoh PKP tahun lalu menjadi dorongan dia dan suami untuk menjalankan perniagaan donat, bagi menyara kehidupan keluarga.

“Kami mulai beroperasi pada tahun lepas dengan menggunakan nama ‘Donut Babah Feeya’ yang merupakan idea sepenuhnya suami saya.

“Perniagaan ini dimulakan susulan suami diberhentikan kerja di tempat lama ketika PKP dilaksanakan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Berbekalkan minat yang sama dalam bidang perniagaan, pasangan suami isteri ini berjaya mengekalkan perniagaan yang diusahakan sehingga ke hari ini.

Menurut Zuridah, meskipun pada awalnya mereka hanya menyediakan tempahan mengikut permintaan pelanggan, namun kini perniagaan donat itu mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada pelanggan.

“Jika dahulu, permintaan donat hanya sebanyak lima hingga enam kotak dalam sehari.

“Kini kami bersyukur kerana pada masa ini, permintaan donat mendapat tempahan sehingga mencecah 30 kotak sehari,” katanya.

Menurut Zuraidah, mereka juga mempunyai pelanggan tetap untuk donat tersebut.

“Pelanggan biasanya terus menghubungi kami untuk membuat tempahan donat.

“Adakalanya, kami akan menggunakan perkhidmatan penghantar untuk tempahan yang diminta berdasarkan jarak mereka,” katanya lagi.

Mengulas perniagaan itu sepanjang wabak Covid-19 melanda, Zuraidah bersyukur kerana hasil jualan donat mereka sentiasa konsisten dan mendapat tempahan berterusan seperti biasa.

“Di sini, pelanggan boleh mendapatkan donat dengan harga serendah RM15 untuk sembilan biji.

“Bagi pelanggan yang berminat untuk membeli donat Babah Feeya, anda digalakkan untuk menghubungi kami di talian 017-7703985 atau layari laman Facebook Zuridah Kitchen untuk maklumat lanjut,” katanya lagi.

Buat sementara waktu, pasangan ini menjalankan perniagaan donat di rumah mereka berdasarkan keadaan semasa Covid-19.

Untuk makluman, Donut Babah Feeya membuka tempahan bermula 8 pagi hingga 7 malam disertai proses penghantaran yang dilakukan bermula 3 petang.

“Saya berharap suatu hari nanti perniagaan kami dapat diperluaskan agar semakin dikenali ramai,” tambahnya ketika mengakhiri perbualan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak