Wakil konsesi dan kontraktor penyenggaraan perlu produktif serta responsif – Fadillah

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru agar semua wakil konsesi dan kontraktor penyenggaraan untuk sentiasa produktif dan responsif.

Menurutnya, mereka semua perlu bertindak pantas dan menjadi pihak pertama untuk dihubungi, yang pertama berada di lokasi dan yang pertama memberikan maklum balas serta mengemaskini sebarang informasi.

“Ini kerana, konsesi dan kontraktor adalah merupakan barisan hadapan yang menjadi
rakan pelaksana kepada Kerajaan.

“Jangan hanya membiarkan Kerajaan yang memberi maklum balas bagi pihak konsesi dan kontraktor, setiap konsesi perlu mempunyai pusat aduan untuk memudahkan rakyat berhubung terus dan mendapat maklum balas dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Aspirasi Kementerian Kerja Raya 2021 secara langsung di Facebook kementerian, hari ini.

Tambahnya, dalam mengharungi era digital kini dunia semakin maju dan komplek.

Malah kata Fadillah, rakyat juga semakin bijak dan bermaklumat serta informasi boleh dicapai dengan mudah hanya dihujung jari secara ‘real time’ dan bila-bila masa sahaja.

“Oleh itu, rakyat sentiasa mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan serta kualiti perkhidmatan yang disediakan.

“Justeru, kita perlu sentiasa mempertingkatkan kualiti perkhidmatan agar seiring dengan harapan pemegang taruh serta rakyat yang sentiasa berubah dan inginkan hasil terbaik,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelas Fadillah, dalam mendokong aspirasi semasa iaitu Memperluas Penggunaan Teknologi Digital Dalam Pembangunan Dan Penyenggaraan Infrastruktur adalah Teras Kedua yang terkandung dalam Pelan Strategik Organisasi 2021 hingga 2025 Kementerian Kerja Raya.

“Ini membuktikan bahawa penekanan kepada kerja penyenggaraan adalah merupakan fokus dan teras utama Kementerian ini.

“Selaras dengan itu, pihak Konsesi dan kontraktor disaran untuk meneroka dan
mendigitalkan semua proses pelaksanaan kerja supaya proses dan kualiti
terjamin.

“Budaya memanfaatkan teknologi digital sebagai pemudahcara dalam
pelaksanaan tugas dan jaminan kualiti akan sekali gus menggalakkan inovasi dalam penambahbaikan mutu kerja.

“Ia juga selaras dengan agenda dan visi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, yang akan membawa perubahan kepada landskap tadbir urus, pembangunan, ekonomi dan sosial negara,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan hasratnya sebagai Menteri Kanan Kerja Raya adalah ingin memastikan semua kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan dengan berkualiti setiap masa.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak