416 peserta e-sukan rebut RM6,500

SERAMAI 416 peserta daripada 96 pasukan berentap untuk memburu hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM6,500 dalam Piala E-Sport Adun N16 Muara Tuang, bermula Ahad lalu.

Pengerusi kejohanan merangkap Timbalan Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Anak-Anak Samarahan Gulbudin Hekmateyer Rahman berkata, kejohanan julung kalinya diadakan itu menyaksikan dua sukan elektronik yang terkenal dalam kalangan belia iaitu PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang.

“Bagi kategori PUBG Mobile, ia akan disertai oleh 64 pasukan dan sebanyak 32 pasukan lagi menyertai kategori Mobile Legends: Bang Bang.

“Penyertaan untuk kedua-dua kategori telah ditutup pada 22 Mac lalu dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan kurang daripada 24 jam di seluruh Sarawak,” katanya dalam sidang media Piala E-Sport Adun N16 Muara Tuang di Taman D-Virtual pada Isnin.

Menurut Gulbudin, kejohanan tersebut merupakan kerjasama di antara Kelab Sukan dan Rekreasi Anak-Anak Samarahan bersama-sama dengan Pusat Khidmat Adun N16 Muara Tuang dan disokong oleh Persatuan E-Sukan Sarawak (Sesa) serta Serba Dinamik.

Beliau berkata, peringkat kumpulan berlangsung bermula semalam (29 Mac) hingga 1 April yang boleh ditonton secara langsung di Facebook Kamek Miak Sarawak bermula jam 8 malam.

Manakala peringkat akhir untuk kejohanan itu akan berlangsung pada 10 dan 11 April ini bertempat di Taman D-Virtual tanpa kehadiran penonton bermula jam 10 pagi sehingga tamat permainan.

Kesemua pemenang di tempat pertama, kedua dan ketiga akan merebut hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan, pingat dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Anak-Anak Samarahan Datuk Rahman Lariwoo berkata, penganjuran e-sukan itu merupakan salah satu daripada tiga perancangan kelab mereka untuk memajukan belia di kawasan Samarahan.

“Tiga perancangan kita pada tahun ini termasuk penganjuran e-sukan, program media sosial untuk belia di Samarahan bertempat di Sadong Jaya dan penganjuran jelajah Samarahan iaitu berbasikal dari Kota Samarahan hingga ke Sebuyau bagi mempromosikan kelab in.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Samarahan kerana memberi kerjasama dan begitu cekap untuk melakukan aktiviti yang kita anjurkan,” jelasnya.

Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang ketika ditemui media memberitahu, belia di Kota Samarahan perlu menjadikan e-sukan sebagai satu cara memperkasakan minda semasa pandemik Covid-19 ini.

Ujarnya, ia merupakan salah satu hasil daripada ekonomi digital seperti yang ditekankan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memperkasakan Sarawak ke arah ekonomi digital sepenuhnya.

 

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak