Rakyat dinasihatkan tidak terlalu risau

SIMANGGANG: Rakyat diingatkan agar tidak terlampau risau serta gusar untuk mengambil vaksin Covid-19.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, pengambilan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di negeri ini telah dimulakan oleh kepimpinan tertinggi negeri.

“Saya berharap selepas pengambilan suntikan vaksin yang dimulakan Ketua Menteri serta barisan kabinet negeri, rakyat tidak perlu terlampau risau dan gusar.

“Lebih-lebih lagi terhadap kesan sampingan vaksin kerana proses pembuatannya melalui ujian yang ketat oleh para saintis perubatan.

“Justeru, rakyat digesa agar segera mendaftar untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui Tuai Rumah dan Ketua Kampung masing-masing,” katanya.

ADUN Simanggang itu berkata demikian selepas mendapat suntikan vaksin di sini, semalam bersama-sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan yang juga ADUN Balai Ringin, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang dan Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak