Fatimah Narawi wanita waja

MUKAH: Fatimah Narawi bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan malah Daerah Balingian apabila berjaya merangkul Anugerah Wanita Waja 2021 untuk kategori Ikon Insani sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Adun Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kejayaan Pengerusi Dewanita Bahagian Mukah itu wajar kerana beliau sangat aktif dalam pelbagai kerja dan aktiviti kebajikan bersama-sama komuniti.

“Saya mendoakan beliau (Fatimah) terus mencapai kecemerlangan dalam segala bidang yang diceburinya.

“Semoga kisahnya selama ini menjadi inpirasi kepada orang ramai dalam apa jua perkara yang mereka lakukan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Fatimah Narawi merupakan antara 20 nama wanita yang berjaya disenarai pendek menerima Anugerah Wanita Waja 2021 selain satu-satunya wakil dari Sarawak untuk menerima anugerah berprestij peringkat kebangsaan berkenaan kali ini.

Berasal dari Kampung Pulat, Balingian, wanita berusia 56 ini sangat dikenali masyarakat setempat di Mukah kerana penglibatannya yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

Antaranya sumbangannya adalah menyumbangkan makanan kepada petugas barisan hadapan dengan Jabatan Residen Mukah, memberi sumbangan kepada anak yatim di Rumah Peryatim Bintulu bersama Perkim Cawangan Balingian, menyumbang kepada Madrasah Mukah dan kerjasama Perkim Cawangan Balingian serta membantu keluarga yang kurang berkemampuan melalui kerjasama Perkim cawangan Balingian 2019-2020.

Beliau pernah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah untuk Cawangan Perkim untuk Negeri Sarawak, Pekerja Cemerlang di Jabatan Perpaduan dan Bintang ABS dari TYT Sarawak 2019-2020.

Mendahului senarai penerima anugerah berkenaan adalah Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi (Ikon Seri Waja), Norhayati Philip Alberto @Jamal (Ikon Anspirasi), Eng Seow Wei ( Ikon Inspirasi), dan Dr Sarah Shaikh Abdul Karim (Ikon Karisma).

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak